Redonah
Redonah menerima cenderahati daripada Surinam ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Golongan wanita diminta agar terus berusaha meningkatkan keupayaan diri bagi membolehkan mereka dapat menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, peranan golongan hari ini amat penting baik dalam bidang ekonomi dan sosial.

Menurut beliau, hal itu tidak dapat dinafikan sama sekali dengan terbukti bahawa golongan wanita bukan sahaja berjaya dalam perniagaan, pentadbiran, perubatan dan sebagainya.

“Sebab itu isu ekonomi keluarga amat penting dan kita sebagai kaum wanita mesti mempunyai kesedaran betapa pentingnya peranan kita dalam menjaga, mengurus, menambah dan mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Semua itu hanya boleh dicapai hanya melalui ilmu dan kemahiran. Tanpa ilmu, latihan dan kemahiran tidak mungkin wanita mampu melihat kebolehan dan keupayaan diri untuk bangkit menjadi wanita yang hebat dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Keusahawanan Wanita dan Belia Madani Bijak Berdikari di Dewan Mesyuarat UTC Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Turut hadir,Timbalan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Surinam Sadikun yang juga Penaung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Sabah dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Sabah, Pasang Apsin.

Program anjuran Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Sipitang bersama dengan Perdanan Pinjaman Sabah atau Sabah Credit Corporation disertai oleh hampir 113 peserta.

Redonah berharap, kaum wanita memanfaatkan sebaik mungkin segala kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk melengkapkan diri agar mampu menjadi ejen perubahan dalam komuniti dan seterusnya menjadi pemimpin kepada organisasi.

“Semua itu memerlukan anjakan awal perubahan sikap, cara berfikir, kesungguhan dan pengorbanan pada diri sendiri, keluarga dan orang-orang di sekeliling.

“Dalam dunia perniagaan moden, tidak ada perkara mustahil untuk berjaya asalkan sanggup melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat yang diperlukan dan bersedia untuk bekerja kuat mengejar kejayaan dengan disiplin,” ujar beliau.

Katanya, untuk meraih kejayaan setiap wanita perlu mempunyai semangat juang yang tinggi terutama ketika menghadapi pelbagai dugaan dan kesukaran.

“Saya tahu anda yang hadir untuk mengikuti program pada hari ini pastinya mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Saya merasa gembira dapat bertemu dengan bakal-bakal usahawan di sini.

“Namun anda perlu ingat, perjalanan anda sebagai seorang usahawan ini masih jauh dan bakal berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Nasihat saya pada anda, bidang keusahawanan ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi, anda perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *