Esscom
Antara individu ditahan ( Sumber Foto: Ihsan PDRM )

BELURAN, SABAH – Seramai 41 orang individu ditahan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam Operasi Bersepadu Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh Daerah Beluran Siri 1/ 2023 selama tiga hari berakhir pada awal pagi Sabtu semalam.

Ianya merupakan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer 70 Jalan Beluran – Kampung Pamol melibatkan 111 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi.

Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos berkata seramai 13 orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dirampas kerana disyaki digunakan untuk menyeludup PATI.

“Manakala seramai 27 orang masyarakat Bajau Laut (Pala’u) turut ditahan semasa menaiki pengangkutan awam dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Turut ditangkap seorang lelaki dewasa kerana didapati positif dadah jenis syabu di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran,” katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan bertujuan untuk membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain di laluan utama menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah termasuk laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah dalam kawasan daratan Beluran.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 282 buah pelbagai jenis kenderaan darat telah diperiksa melibatkan pemeriksaan seramai 661 orang individu.

“Di samping itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 85 keping saman masing-masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *