Nizam
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi pendirian masih meneruskan tuntutan 40 peratus hasil negeri meskipun menerima bayaran pemberian khas RM125.6 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berniat untuk mengelirukan rakyat Sabah mengenai Geran Khas Persekutuan 40 peratus.

“Ketua Menteri telah menjelaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan GRS akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang merangkumi tuntutan 40 peratus.

“Ternyata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assafal Alian cuba mengelirukan rakyat dengan memberikan harapan palsu untuk menutup kegagalan Parti Warisan (WARISAN) ketika mereka berkuasa.

“Ketua Menteri telah beberapa kali mengulangi pendirian GRS untuk meneruskan tuntutan 40 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun menerima bayaran pemberian khas RM125.6 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Hasil daripada pembayaran tersebut , telah disalurkan untuk pembinaan rumah mampu milik SMJ di semua 73 kawasan DUN,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Kenyataan media terbabit adalah bagi mengulas dakwaan Assafal, baru-baru ini yang menyatakan Perintah Pemberian Khas Sabah, PU(A)119/2022 dibuat untuk menggantikan perintaah pemberian khas 1970 (PU(A)328/1970) bagi menggantikan tuntutan hasil 40 peratus.

Nizam yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menyifatkan tindakan Assafal memutar belit fakta dengan mempolitikkan isu yang gagal ditangani oleh WARISAN adalah tidak wajar.

“Adakah Assafal cuba mengatakan bahawa Sabah harus menolak RM125 juta itu sedangkan ia telah memanfaatkan rakyat berbanding dengan kerajaan WARISAN yang hanya bersetuju menerima RM53.4 juta sahaja daripada kerajaan Persekutuan.

“Ini terbukti dalam ucapan Bajet 2020 Datuk Seri Shafie Apdal pada 15 November 2019 sebagai Ketua Menteri ketika itu dimana beliau bersetuju menerima RM53.4 juta.

“Jika WARISAN masih berkuasa, Sabah mungkin hanya menerima RM80.1 juta sahaja dan bukannya RM125.6 juta. Mungkin, Assafal harus menjelaskan perkara ini daripada cuba menipu orang ramai tentang isu ini.

“Hajiji, selaku Ketua Menteri telah memberikan komitmen untuk terus mencari penyelesaian di belakang tabir,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *