Gambar sekadar hiasan…

KUALA LUMPUR – Cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu ini.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 tahun bagi ahli-ahli semasa manakala perkhidmatan pengeluaran bulanan sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.

“Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli yang dijangka hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang…

“Cadangan ini masih diteliti dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, KWSP berkata mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.

Pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran berkala secara bulanan dilihat mampu memberikan peluang kepada ahli untuk menguruskan wang persaraan mereka dengan lebih baik.

Beliau berkata pengeluaran berkala itu juga memberi peluang kepada ahli untuk terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *