Rafizi Ramli…

ALOR SETAR, KEDAH – Kerajaan harap sektor swasta turut memberikan komitmen untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan bagi merealisasikan dasar kenaikan gaji yang progresif dalam menghadapi isu berkaitan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan memerlukan dasar komprehensif melibatkan pihak swasta dan awam, yang kini menjadi keutamaan kerajaan, yakni untuk bertindak merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji ramai dengan kenaikan kos sara hidup.

Katanya kerajaan telah dan sedang berusaha menangani isu berkaitan harga barangan dan juga inflasi, namun sekiranya gaji tidak naik secara berkala, isu harang barangan dan kenaikan kos sara hidup tetap tidak akan dapat diselesaikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di sini semalam.

Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan akan membincangkan soal mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam, berikutan tiada kenaikan diberikan kepada penjawat awam bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada 2013 melibatkan kira-kira 1.6 juta orang.

Sementara itu Rafizi berkata kerajaan tidak boleh lagi menguruskan ekonomi mengikut cara lama iaitu dengan cara memberikan tumpuan sepenuhnya aspek pelaburan semata-mata sehingga menyebabkan golongan kaya semakin kaya, namunu pertumbuhan kekayaan itu tidak sampai kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata telah tiba masanya untuk isu berkenaan dibincangkan, dan ketika ini sudah ada petanda mengenai ekonomi negara semakin bertambah baik, terutamanya dari segi penurunan inflasi, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan masuk ke dalam negara yang tinggi.

“Fokus utama sekarang adalah menangani kemiskinan tegar, kita perlu mengutamakan isu ini terlebih dahulu dengan cara mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pertanian dan keusahawanan. Perhatian segera kita adalah untuk menangani soal pendapatan,” katanya

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *