Safar
Safar (tengah) menyampaikan anugerah kepada penerima ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pesara kerajaan, Angelie Tee Giok Bee dinobatkan sebagai Tokoh Kesetiausahaan 2023.

Anugerah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam Majlis Anugerah Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam (MSPA) Negeri Sabah di sini, pada Jumaat.

Angelie yang sebelum ini pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2004 dan 2017 serta Pingat Bintang Seri Kinabalu (BSK) pada tahun 2019 telah berkhidmat selama 41 tahun dan bersara wajib pada tahun 2020 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Dalam ucapannya, Safar berharap pengiktirafan tersebut menjadi pendorong kecemerlangan kepada semua penjawat awam negeri khususnya golongan setiausaha.

Menurut beliau, dalam membentuk para setiausaha yang profesional, individu tersebut perlu mempunyai karakter unggul serta boleh berfikir menjangkau pengetahuan dan teknologi sedia ada bagi mencari idea-idea kreatif untuk meningkatkan mutu kerja.

Dalam majlis berkenaan, turut disampaikan empat kategori anugerah kepada lapan penerima antaranya Anugerah Setiausaha Harapan kepada dua penerima, Ramlah Sidin dan Lucia Goni dan Anugerah Jasa Kesetiausahaan disandang oleh Saulim Gautum.

Manakala, Anugerah Setiausaha Cemerlang diberikan kepada empat penerima, Klimintina Roman, Riani Soh, Rosni Leong serta Suhaini Jamil yang masing-masing menerima sijil penghargaan, plak dan jambangan bunga.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datin Dr Nuinda Alias, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Junaidah Abdul Hamid dan Pengarah Institut Latihan Awam Negeri (INSAN), Mohd Yassin Ibrahim yang juga penasihat MSPA2023. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *