Gambar sekadar hiasan…

KUALA LUMPUR – Enam negeri mencatat sejarah apabila mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara serentak pada 12 Ogos ini.

Buat pertama kalinya juga, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan penamaan calon PRN itu akan diadakan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Selangor yang memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32), dibubarkan bulan lepas kecuali Negeri Sembilan yang mempunyai 36 DUN pada 1 Julai, selepas mendapat perkenan Sultan, Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Besar, masingmasing.

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

Kelantan menjadi negeri pertama membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun manakala Negeri Sembilan dibubarkan pada 1 Julai, selepas melengkapkan tempoh penggal lima tahun.

Sebelum ini, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) serta negeri yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah berpendirian untuk tidak membubarkan DUN masing-masing bersekali dengan pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Okt tahun lepas.

Landskap politik negara sebelum ini hanya menyaksikan Sarawak yang mengadakan pilihan raya secara berasingan sejak 1963 dan tidak pernah bersekali dalam mana-mana PRU.

Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18 Disember 2021 yang lalu…

Sabah juga sebelum ini pernah mengadakan beberapa siri PRN secara berasingan dengan pilihan raya Parlimen dengan yang pertama adalah pada 1967 sebelum Negeri Dibawah Bayu itu mula menyertai pilihan raya bersekali dengan pusat pada 2004.

Akibat kemelut politik yang melanda negeri itu, Sabah yang mempunyai 73 kerusi DUN kembali mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan pada 26 Sept 2020, ketika negara ketika itu sedang berhadapan ancaman pandemik COVID-19.

Selain itu, Melaka dan Johor juga menjadi antara negeri yang turut pertama kali mengadakan PRN masing-masing secara berasingan dengan PRN Melaka diadakan pada 20 Nov 2021 dan Johor pada 12 Mac 2022, ekoran kemelut politik negeri dan menyaksikan kedua-dua negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya Melaka dan Johor itu juga menyaksikan buat pertama kalinya pelaksanaan undi 18 tahun.

Menurut SPR, jumlah pengundi yang akan terlibat dalam PRN di enam negeri berkenaan adalah lebih 9.77 juta dan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini, sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun.

PRN enam negeri yang melibatkan perbelanjaan RM420 juta itu turut menyaksikan Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang dan menjadi negeri paling ramai mempunyai kumpulan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 8,638 orang.

Ia disusuli Kedah dengan 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017).

Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 29 Julai ini sehingga 11.59 malam pada 11 Ogos.

Selain itu, menurut SPR seramai 153,760 petugas akan dilantik bagi membantu melancarkan pengendalian proses PRN berkenaan, dan 173 pusat penamaan calon serta 186 pusat penjumlahan rasmi undi akan dibuka.

Untuk rekod, sebanyak lima Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan DUN telah diadakan selepas PRU14 dengan empat daripadanya di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

Di Selangor, ia membabitkan DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi daripada PH meninggal dunia. Tiga daripada kerusi tersebut berjaya dipertahankan PH, manakala kerusi Semenyih berjaya dirampas BN.

Di Negeri Sembilan, PRK diadakan melibatkan DUN Rantau berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap keputusan petisyen pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov 2018, yang mengisytiharkan kemenangannya bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

Dato Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat)…

Timbalan Presiden UMNO itu yang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 2004, mempertahankan kerusi berkenaan.

Setakat ini, lima negeri yang mengadakan PRN telah meluluskan Enakmen Anti-Lompat Parti masing-masing supaya selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Parlimen tahun lepas, kecuali Terengganu.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *