Ernie
Poster lagu Sirna untuk OST Sumpahan Jerunei oleh Ernie Zakri ( Sumber Foto: Ihsan Rocketfuel Entertainment )

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penggubah lagu, Ernie Zakri bakal tampil dengan lagu runut bunyi (OST), Sirna untuk filem kisah seram adaptasi daripada ritual sebenar masyarakat kaum Melanau zaman dahulu kala ‘Sumpahan Jerunei’.

Lagu terbabit merupakan karya hasil sentuhan oleh komposer terkenal tanah air, Sharon Paul manakala liriknya ditulis oleh Slenfadzil dan Ernie sendiri.

Mengulas lanjut, Ernie berkata setelah membuat sedikit penyelidikan, cerita Sumpahan Jerunei ini mempunyai tarikannya yang tersendiri kerana berdasarkan daripada sebuah tradisi yang benar-benar berlaku.

“Filem Sumpahan Jerunei yang telah siap pada tahun 2019 terpaksa ditunda tayangannya kerana bencana pandemik COVID-19 yang menyerang dunia.

“Lagu Sirna ini sebenarnya telah disiapkan beberapa tahun yang lalu namun tidak dapat dilancarkan kerana apa yang berlaku pada kita semua.

“Cerita disebalik lagu ini ada kena-mengenai dengan filem Sumpahan Jerunei yang mengangkat tema tradisi pengebumian bangsawan Melanau yang penuh misteri.

“Lagu ini mengisahkan mengenai penderitaan seorang wanita yang merayu-rayu meminta untuk dilepaskan, perasaan marah dan memberontak bercampur-baur,” katanya.

Disamping itu, Ernie juga berkata lagu genre balada berdurasi selama 3:56 minit itu mengambil masa yang singkat untuk disiapkan.

“Kami mengambil masa sekitar dua sehingga tiga jam sahaja bagi merakamkan lagu ini kerana sudah terbiasa bekerjasama dengan Sharon Paul.

“Saya juga turut menulis bait-bait liriknya dan menambah elemen lenggok Melayu asli dalam nyanyian saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, Famy Ghazali berkata pihaknya yakin Sumpahan Jerunei bakal menjadi hit apabila ditayangkan kelak.

“Dengan OST nyanyian Ernie saya yakin dapat menaikkan lagi filem ini kerana pemilihan beliau adalah bertepatan dan kena dengan kedudukannya sebagai seorang penyanyi disegani negara.

“Semoga lagu Sirna menjadi OST terbaik yang pernah dihasilkan selama ini dan moga pendengar sukakanya.

“Saya berharap agar OST filem Sumpahaan Jerunei, SIRNA dapat diterima ramai, walaupun sedikit ‘berat’ konsepnya, agar semua terhibur dan menyukainya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *