KUANTAN, PAHANG – Polis meminta orang ramai untuk berwaspada dengan taktik penipu yang menyamar sebagai pegawai polis bagi meminta sumbangan wang tunai menerusi panggilan telefon atau pesanan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar menerusi kenyataan di sini hari ini, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penipuan itu yang kononnya sumbangan terbabit akan digunakan bagi penganjuran program melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu.

“Suspek dikatakan memperkenalkan diri sebagai Tuan Nik atau Tuan Syukri serta menggunakan gambar profil lelaki mengenakan pakaian seragam polis.

“Suspek didapati menjadikan ahli perniagaan di sekitar Bentong sebagai sasaran,” katanya.

Zaiham berkata suspek juga didapati menggunakan tiga akaun bank berbeza untuk mangsa memberikan sumbangan.

Sehubungan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga meminta mereka yang menerima panggilan atau pesanan serupa untuk menghubungi IPD Bentong menerusi talian 09-2222222 atau ke balai polis berhampiran.

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *