Ums
Wakil kakitangan dari PNRF menyampaikan cenderamata kepada Pengurus Rumah Anak Yatim, Baitul Hidayah, Awang Lahaji Rokimin ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Semangat kesukarelawan dalam kalangan siswa perlu terus dipupuk sebagai asas kepada pembentukan warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, dan saling bantu membantu tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit.

Justeru, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen (JAKMAS NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2022/2023 telah mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Rumah Anak Yatim, Baitul Hidayah Kudat baru-baru ini sebagai usaha berterusan dalam menyemai dan memperkukuh semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar universiti.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, program murni tersebut adalah menyokong kepada amanat dan fokus ke-11 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar melalui program-program pembangunan sahsiah seumpama itu.

“Ini juga menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society).

“Program ini juga bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping itu, program ini juga dapat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan dan memberi pengalaman berkualiti kepada pelajar,” katanya.

Bertemakan ‘Berganding, Bersatu Menuju Ukhuwah’, program yang membabitkan kumpulan pelajar non residen itu diketuai Pengarah Program, Deanna Masoh.

Kehadiran pelajar NR di Rumah Anak Yatim Baitul Hidayah disambut ceria oleh pengurusan dan penghuni rumah anak yatim serta dibantu oleh para warden yang sentiasa ada di sepanjang program berlangsung.

Pengurus Rumah Anak Yatim, Baitul Hidayah, Awang Lahaji Rokimin turut merakamkan penghargaan kepada UMS khususnya PNRF atas usaha melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di rumah tersebut.

Menurut beliau, kehadiran kumpulan pelajar dari UMS amat bermakna kerana itu merupakan kali pertama rumah anak yatim tersebut dikunjungi oleh pihak luar, selain turut mengharapkan program sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin turut menyokong program sahsiah seumpama itu dilaksanakan secara giat dan berterusan.

Hadir sama dalam program tersebut Yang Dipertua JAKMAS NR, Mohd Nazarruddin Zulkipli bersama-sama kakitangan PNRF UMS.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *