Wanita grs
Azizah, (dari kanan) Flovia Ng, Malianah Ugau, Diana Diego serta ahli jawatan Wanita GRS yang lain ( Sumber Foto: Ihsan Wanita GRS )

KOTA KINABALU, SABAH – Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan jelajah yang meliputi enam zon di Sabah dan dijangka akan dilancarkan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor pada 23 Julai depan di SICC Kota Kinabalu.

Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Mohd Dun berkata dijangka lebih kurang 500 wanita GRS seluruh Sabah akan hadir majlis terbabit melibatkan enam zon.

Memperincikan secara lanjut, enam zon terbabit melibatkan Zon 1 (Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat), Zon 2 (Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan), Zon 3 (Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang), Zon 4 (Ranau, Keningau, Tenom, Pensiangan), Zon 5 (Beluran, Kinabatangan, Libaran, Batu Sapi, Sandakan) dan Zon 6 (Lahad Datu, Semporna, Tawau, Kalabakan).

Beliau berkata Jelajah Wanita GRS di enam zon akan dimulakan di peringkat negeri yang akan diadakan pada 23 Julai ini dan selepas itu di setiap zon yang akan dihadiri oleh Wanita GRS di setiap zon.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Pejabat GRS Alamesra semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Flovia Ng (Star), Datin Malianah Ugau (PBS), Norizah Mohammad Noor (SAPP), Puan Sri Diana Diego (Usno), Glenna Wong Kuen Yin (LDP), Norizian Dumit (PHRS), Penolong Setiausaha GRS, Salmah Sait serta ahli jawatankuasa GRS Wanita Sabah.

Azizah turut mengalu-alukan penyertaan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan LDP dalam GRS baru-baru lalu.

“Wanita GRS akan terus turun ke akar umbi bagi memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.

“Kita menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah berikutan komitmen beliau terhadap agenda ‘Sabah First’ memastikan pembangunan sama rata untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Wanita GRS turut menyatakan sokongan padu mereka kepada kerajaan GRS dan mengharapkan kerjasama erat terutamanya di peringkat akar umbi dan menyatukan lebih ramai rakyat Sabah untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan gabungan itu,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *