Gagasan
Dr Mohd Saifullah bersama barisan kepimpinan Gagasan Rakyat Senallang ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat Senallang )

SEMPORNA, SABAH – Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Senallang komited untuk membantu kepemimpinan bahagian dalam usaha mendekati rakyat dan menggempur kubu parti lawan di kawasan ini.

Ketuanya, Dr Mohd Saifullah Mohd Hisham, berkata langkah proaktif sedang diatur bersama kepemimpinan bahagian yang diketuai Azis Abdul Hamid bagi meningkatkan sokongan terhadap Gagasan Rakyat.

Katanya, walaupun Senallang dan dua lagi bahagian atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Semporna dikuasai WARISAN, pendekatan proaktif Gagasan Rakyat mendekati rakyat mampu mengubah kedudukan itu.

Menurutnya, barisan kepemimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Senallang yang baru dilantik memiliki keupayaan dan kekuatan tersendiri dalam membantu menggerakkan jentera parti di peringkat bahagian dan Parlimen.

“Anak muda yang menggerakkan sayap Pemuda di Senallang ini bukan saja anak jati Semporna sendiri terapi juga terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan memiliki latar belakang yang hebat, contohnya Ketua Penerangan berkelulusan undang-undang.

“Begitu juga Penolong Bendahari, Ifrad Bin Datuk Harman, memang dikenali sebagai seorang usahawan dan anak kepada bekas ADUN Sulabayan, Datuk Harman Mohamad.

“Dalam kalangan Ahli Jawatankuasa biasa Pergerakan Pemuda juga dianggotai teknokrat, usahawan muda dan aktivis siswa.

“Muka baharu dalam arena politik daerah turut bersama menganggotai barisan pemuda bagi menjadi tambah nilai kekuatan organisasi Bahagian Senallang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pembentukan Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Senallang, di sini, semalam.

Mohd Saifullah berkata, belau mahu menjadikan pergerakan Pemuda sebagai platform atau saluran suara rakyat akar umbi terutama golongan belia dalam mengangkat hasrat mereka ke peringkat atasan.

Sejajar dengan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan jelajah untuk mendekati anak muda dan rakyat, khususnya di kawasan dikuasai Parti Warisan (WARISAN) termasuk di Lahad Datu.

“Saya selaku Penyelaras Pemuda Gagasan Rakyat Parlimen P189 dan P188 juga akan mengadakan jelajah kolaboratif di bahagian-bahagian di Lahad Datu bagi membentuk kekuatan baharu gerakan Pemuda Gagasan Rakyat di kawasan-kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat WARISAN,” katanya.

Pendekatan itu juga katanya sejajar dengan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat Senallang mendokong kepemimpinan Ketua Bahagian, Azis Abdul Hamid; timbalannya, Rashdey Datuk Sabardin dan Naib Ketua, Marzuki Nasir yang menerajui Gagasan Rakyat bahagian Senallang.

Katanya, kerjasama berpasukan dapat mengukuhkan Gagasan Rakyat sebagai pilihan terbaik rakyat Senallang dan Parlimen Semporna keseluruhannya apabila tiba masanya untuk membuat penentuan parti mana yang akan dipilih pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *