Hajiji
Teo (kiri) bersama Hajiji (kanan) semasa sesi kunjungan hormat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sejumlah 13 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu akan diwujudkan di Sabah.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata pertambahan PEDi baharu di Sabah akan meluaskan potensi ekonomi E-Dagang di negeri ini.

“Semasa kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, banyak isu dibincangkan tentang liputan 4G,5G serta kemudahan untuk memastikan lebih banyak kawasan berpenduduk di Sabah boleh mendapat liputan 4G ataupun LTE ini.

“Kami bersetuju liputan internet ini merupakan satu utiliti asas sama seperti air dan elektrik, jadi adalah amat penting untuk kita memastikan tempat berpenduduk tiada akses internet boleh dapat liputan dan juga kualiti perkhidmatan ini dapat ditambah baik.

“Untuk maklumat semua di Sabah kita ada 118 PEDi dimana kita harap dapat membekalkan liputan internet, kemudahan komputer dan juga kursus yang boleh membantu usahawan kita untuk menyertai E Dagang ini.

“Terdapat 13 PEDi baharu akan diwujudkan di Sabah dan saya agak berbangga ada produk yang dijual melalui PEDi ini ada yang telah sampai ke negara Brunei.

“Ini merupakan satu potensi dalam E Dagang, kerana sebelum ini hasil dan produk cuma dapat dijual kepada komuniti lokal sahaja, tetapi sekarang dengan kemudahan internet dan platform E Vendor, produk yang bagus bukan sahaja dapat dijual kepada komuniti tempatan bahkan sehingga ke luar negara.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada usahawan di sini dan saya harap makna mereka bolehlah terus maju jaya dan saya percaya bahawa kita perlukan pastikan bahawa lebih ramai usahawan yang bersifat di rumah sahaja bolehlah join E Usahawan supaya kita boleh menambah pendapatan isi rumah”, ujar beliau lagi.

Teo berkata demikian semasa ditemui media selepas melawat PEDi Kampung Kopimpinan, hari ini.

Terdahulu, Teo mengadakan kunjungan hormat menemui Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya bersama wakil agensi di bawah KKD yang berpejabat di Sabah.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah dan juga keperluan akses kepada internet yang menjadi sebahagian utiliti asas seperti bekalan air dan elektrik pada masa kini.

Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah Ts Cyril Simon dan Pengarah Seksyen Kawalselia Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah Suhaila Jaffar. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *