Pppm
Toh Puan Norlidah (duduk,tengah) bergambar kenangan bersama AJK PPPM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) memainkan peranan penting melaksanakan aktiviti pendidikan tidak formal.

Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang juga Penaung PPPM Sabah berkata aktiviti tersebut penting bagi memupuk pelbagai kemahiran fizikal, intelek, sosial dan kerohanian serta kepimpinan.

“Sebagai persatuan yang berfokuskan kepada gadis dan wanita, usaha ini dapat membantu mereka mendepani pelbagai cabaran hidup.

“Selain itu, komitmen berterusan semua ahli perlu dilakukan terutamanya dalam mendidik dan menyebarkan ilmu serta kemahiran bermanfaat kepada generasi pemimpin akan datang,”ucapnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke- 58 PPPM, pada Sabtu.

Tambah Toh Puan Norlidah, pelbagai cabaran ditempuh PPPM sepanjang dua tahun pandemik Covid-19 namun berkat kesepaduan PPPM, semua program berjalan dengan lancar walaupun secara dalam talian.

“Ini terbukti apabila PPPM dapat melaksanakan Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan 2023 dengan jayanya.

“Syabas dan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa(AJK) Induk PPPM dan AJK Kerja PPPM Cawangan Sabah kerana telah berjaya menyempurnakan persidangan ini,” ucapnya lagi.

Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 PPPM Tahun 2023 bermula 22 hingga 25 Jun 2023 dihadiri seramai 467 penyertaan ahli PPPM seluruh Malaysia.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jeyadhevi Subramaniam. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *