Armizan
Armizan menjawab persoalan dari pelajar yang hadir ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah tanggungjawab semua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas ,Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurutnya, MA63 adalah satu perjanjian yang dipertanggungjawabkan kepada semua rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak sahaja.

“Perjanjian MA63 bukan hanya relevan untuk masyarakat kita di Sabah atau Sarawak sahaja, tetapi untuk semua masyarakat Malaysia.

“Kerana hakikatnya, MA63 adalah milik semua dan pertanggungjawaban semua bukan hanya relevan kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia kerana ini adalah pertanggungjawaban perjanjian yang memberi tanggungjawab kepada semua pihak yang terlibat termasuklah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia di bawah MA63,” katanya kepada media selepas Sesi Interaksi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) bersama YB Datuk Armizan Mohd Ali, di sini.

Beliau turut berharap setiap maklumat yang diberikan mestilah tepat agar masyarakat memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

“Selain memberi kefahaman mengenai MA63, program sebegini juga penting untuk memastikan masyarakat kita tidak dikelirukan dengan kenyataan dan tindakan yang cuba untuk memberikan fakta yang salah berkenaan MA63, termasuklah ada kecenderungan pihak tertentu yang menjadikan MA63 ini sebagai modal untuk kepentingan diri ataupun kepentingan sempit politik kepartian.

“Jadi bagi saya dengan memberi pendedahan dan kefahaman mereka akan mengetahui kedudukan sebenar MA63 untuk memastikan sebagai masyarakat Sabah dan Sarawak, kita membuat tuntutan dan syor kepada Kerajaan Persekutuan perlulah berasaskan kepada fakta yang tepat.

“Memberikan maklumat yang silap ataupun separuh benar ataupun tindakan cuba menggelapkan rekod dan sejarah sebagai asas tuntutan kita kepada Kerajaan Persekutuan sebenarnya tidak memberikan manfaat kepada kita kerana hujah dan asas tuntutan kita perlukan sandaran kepada fakta yang jelas dan tepat.

“Jadi saya mengharapkan masyarakat kita memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dan kita mengharapkan semua pihak yang ada di Sabah ini bertanggungjawab untuk kita memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat berkenaan tuntutan kita”, ujarnya.

Tambahnya, semua pihak baik masyarakat mahupun pemimpin di Sabah perlu bersatu dalam mengurus tuntutan MA63 tanpa mengira latar belakang politik kerana MA63 merupakan tuntutan bersama untuk kepentingan rakyat. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *