Jans
Para peserta seminar bergambar kenangan bersama Alesia (tengah), Vitalis (kiri) dan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Melissa Joseph James ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Garis Panduan Pengurusan Sisa (Efluen dan Pepejal) Kilang Kelapa Sawit di Sabah dilancar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata penerbitan tersebut menyediakan panduan pengurusan sisa (efluen dan pepejal) kilang-kilang minyak sawit di Sabah.

“Ia mengetengahkan isu-isu utama alam sekitar berkaitan operasi kilang, cadangan penempatan, zon penampan, Best Management Practices (BMP) dan Best Available Techniques (BAT).

“Selain itu, ia juga menggariskan peraturan sedia ada, keperluan institusi, maklumat umum proses penjanaan sisa, rawatan dan pengurusan efluen kilang kelapa sawit (POME) serta sisa pepejal.

“Kita mesti mempunyai mekanisme sedia ada untuk mengurus kesan aktiviti-aktiviti pembangunan, termasuk operasi kilang kelapa sawit.

“Dengan mengaplikasikan amalan ini, impak negatif kepada alam sekitar dapat diminimakan seterusnya menyumbang kepada kelestarian dan kemapanan industri,” katanya semasa merasmikan Seminar Kesedaran Garis Panduan Dan Sisa (Efluen dan Pepejal) Kilang Kelapa Sawit di Sabah, pada Khamis.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Alesia Sion.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Vitalis J. Moduying berkata panduan tersebut disediakan bersama semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar.

“Kajian dilakukan dengan mengambil kira keadaan topografi Sabah, jenis tanah, kapasiti kilang dan akan menjadi rujukan semua pihak dalam memperbaiki sistem pengolahan sisa.

“Ini adalah sebagai langkah permulaan sebaran kesedaran awal dan mengambil kira contoh-contoh terbaik pengendali di Sabah dalam usaha untuk meminimumkan kesan terhadap alam semulajadi,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *