Hajiji
Hajiji diiringi Armizan sedang meninjau ambulans pacuan empat roda di perkarangan Blok A Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah semalam telah menerima sebanyak lapan unit ambulans pacuan empat roda untuk bagi memperkasakan lagi fungsi agensi terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata secara keseluruhannya, Sabah bakal menerima 15 unit ambulans pacuan empat roda yang bernilai RM4.042 juta.

Katanya, bagi pengagihan fasa pertama ini, lapan unit ambulans pacuan empat roda tersebut diagihkan kepada APM daerah membabitkan daerah Tuaran, Papar, Putatan, Ranau, Keningau, Pitas, Sandakan dan Kalabakan.

Manakala baki tujuh unit ambulans pacuan roda bagi fasa kedua dijangka akan diagihkan pada Ogos ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya berharap dengan inisiatif pengagihan ambulans pacuan empat roda itu dapat membantu APM Sabah dalam kesiap-siagaan menangani sebarang kecemasan atau bencana di daaerah khususnya di kawasan pendalaman.

“Inisiatif kita memperkenalkan dasar baharu membekalkan ambulans pacuan empat roda ke negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung khusus untuk kawasan luar bandar serta pendalaman ini adalah untuk memperkukuhkan APM di peringkat daerah. Itu asas paling utama.

“Dalam arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), APM merupakan urus setia jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah dan negeri.

“Jadi kita ingin melengkapkan (perkhidmatan) bukan hanya dari segi sumber manusia tetapi juga perolehan aset untuk membolehkan APM berfungsi dengan lebih berkesan.

“Kita dapati pada tahun ini, terdapat syor untuk kita membekalkan ambulans pacuan empat roda ke daerah-daerah kerana ada kawasan kampung dan pendalaman yang tidak boleh diakses. dengan kemudahan ambulans biasa. Atas sebab itu kita perkenalkan aset ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Ambulans Pacuan Empat Roda Angkatan Pertahanan Awam bertempat di Perkarangan Blok A Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Sementara itu, Armizan turut berkata pengagihan ambulans pacuan empat roda diberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor geografi dua negeri Borneo terbabit.

“Bagi Semenanjung Malaysia, keutamaan diberikan kepada kawasan yang memerlukan. Kalau di Sabah, contohnya daerah Penampang dimana walaupun ia berdekatan dengan Kota Kinabalu tetapi ada kawasan sukar diakses dengan kenderaan biasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *