Hajiji
Hajiji menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil peserta Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) pada majlis penutupannya di Ming Garden Hotel Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kabinet Negeri akan membuat keputusan minggu depan berhubung cadangan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) meminta penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) lebih 10 tahun mengosongkan rumah mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu dan cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Negeri untuk dibincang dengan teliti agar satu keputusan dapat diambil berhubung isu yang berbangkit.

“Kita akan membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet Negeri minggu depan. Jadi kita akan buat keputusan. Walaupun ada teguran daripada pihak Jabatan Audit berhubung
perkara ini, bagi saya kita berpendirian bahawa kita tidak boleh berbuat demikian (meminta penyewa lebih 10 tahun mengosongkan rumah).

“Ini kerana mereka yang tinggal di rumah sewa PPR adalah mereka yang masih memerlukan tempat tinggal dan sebagainya.

“Kita tunggu keputusan Kabinet Negeri minggu depan tetapi secara prinsipnya kita
akan pastikan nasib mereka terbela”, katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di Ming Garden Hotel, pada Khamis.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan
Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Hajiji mengulas notis yang dikeluarkan kepada penyewa yang sudah tinggal lebih 10 tahun di PPR untuk mengosongkan kediaman berikutan teguran Jabatan Audit Negara berhubung ketidakpatuhan had tempoh menyewa yang ditetapkan.

Notis terbabit dikeluarkan LPPB untuk penyewa melebihi 10 tahun di beberapa PPR di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju mewujudkan Rumah Transit Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan pelajar yang mencari kerja selepas tamat
pengajian.

Katanya, cadangan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan
dan Perumahan supaya dapat diwujudkan di PPR yang sedang dalam pembinaan ketika ini.

“Kita banyak lagi PPR yang belum siap seperti di Inanam. Jadi sebagai permulaan, kita maklumkan kementerian supaya menyediakan 50 unit contohnya daripada 1,000 unit dikhaskan untuk rumah transit ini dengan bayaran minimum,” katanya.

Penyediaan rumah transit itu adalah antara cadangan yang dikemukakan peserta
MPPS pada persidangan mereka kali ini, bertujuan meringankan beban graduan yang
mencari kerja mendapatkan rumah dengan kadar sewa yang rendah.

Terdahulu, Hajiji menekankan mengenai komitmen kerajaan negeri membangunkan modal insan sebagai antara perkara utama yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.

Katanya, pelbagai insentif diwujudkan bagi membantu dalam pembangunan sektor berkenaan termasuk bantuan tunai kepada pelajar kurang berkemampuan apabila melanjutkan pelajaran dengan peruntukan yang besar setiap tahun.

Beliau turut menyifatkan, program bersama pemimpin pelajar universiti dari Sabah sempena persidangan MPPS malam tadi sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan modal insan dalam hala tuju SMJ.

“Kita tidak boleh lari dalam modal insan ini kerana anak-anak kita inilah jadi pewaris kita pada masa akan datang. Kerana itulah tumpuan kerajaan kita membangunkan modal insan.

“Program ini adalah cara kita mengembangkan minda pelajar universiti Sabah dan ini kali kedua diadakan. Sepanjang bersidang tiga hari di sini, banyak usul dikemukakan.

“Saya lihat dan ambil perhatian serta tindakan mana-mana usul yang kita fikir perlu diutamakan kerana suara anak muda amat penting bagi Sabah.

“Kita bukan saja dengar suara dan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan lain tapi suara golongan muda ini juga kita dengar dan beri keutamaan,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu membantu golongan anak muda bagi memastikan mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan di Sabah melalui pengajian yang diikuti di universiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *