Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP)

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Negara, semalam.

RUU itu antara lain memperuntukkan pengasingan tugas antara Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM.

Rang Undang-Undang itu yang dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 8 Jun lalu.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan bagi rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini, Ewon menghargai pandangan dan sokongan daripada 11 ahli dewan yang telah membahas serta menyokong RUU itu.

“Kami menghargai semua pandangan termasuk teguran oleh ahli-ahli dewan. Pada saya, untuk kita mengangkat dan membangunkan gerakan koperasi di negara ini, semuanya bermula daripada kepimpinan,” katanya.

Mengenai kuasa menteri melantik enam ahli lembaga pengarah, Ewon berkata, antara pertimbangan yang akan diambil kira ialah individu itu sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai gerakan koperasi.

“Daripada enam orang ahli lembaga itu, kita telah melantik seorang sebelum pindaan ini dibuat iaitu pengarah Institut Koperasi Malaysia yang memang terlibat dalam gerakan koperasi dalam sektor latihan,” katanya.

Selain itu katanya, pertimbangan lain yang perlu diambil kira ialah wakil daripada gerakan koperasi seluruh negara iaitu Malaysia Timur dan Malaysia Berat serta wakil Sabah, Sarawak, bukan bumiputera, bumiputera dan wakil daripada gerakan koperasi yang berjaya.

“Ini antara pertimbangan kita untuk melantik ahli lembaga pengarah supaya mencakupi semua gerakan koperasi di seluruh negara.

“Kita mengambil kira pertimbangan gerakan koperasi menyeluruh mewakili semua supaya hal-hal dan isu-isu koperasi dapat diangkat dan dibincangkan di peringkat lembaga pengarah,” katanya.

Mengenai kuasa menteri untuk menamatkan pelantikan tanpa memberi apa-apa sebab, Ewon menjelaskan bahawa, banyak rang undang-undang sebelum ini yang telah diputuskan di Dewan Negara mempunyai perenggan yang sama ‘menteri boleh membuat penamatan pelantikan tanpa memberi sebab.

“Kita mengambil maklum dan menghargai pandangan serta teguran yang disampaikan oleh ahli-ahli berhormat yang risau ia akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

“Tetapi kita lihat dari sudut positifnya, apabila saya menyampaikan pelantikan itu bagi pihak kerajaan, kita beri peringatan kepada ahli-ahli yang dilantik sama ada yang enam orang atau ahli lembaga yang mewakili kementerian dan agensi kerajaan yang lain yang duduk dalam suruhanjaya ini termasuk pengerusinya nanti.

“Peringatan kepada mereka bahawa pelantikan itu untuk mereka membela dan membangunkan gerakan koperasi, seandainya mereka lalai atau tidak dapat menjalankan tanggjugnawab itu maka pelantikan mereka boleh ditamatkan.

“Mereka mengetahui ada punca kuasa yang diberi kepada menteri, maka septatutnya mereka berikrar kepada ahli koperasi bahawa pelantikan itu dibuat kerana mereka mahu membangunkan gerakan koperasi,” katanya.

Ewon turut menjelaskan mengenai penstrukturan semula pengasingan kuasa diantara pengerusi dengan ketua pegawai eksektufi.

“Kalau sebelum ini orangnya sama, sekarang ini melibatkan dua orang yang berbeza dan pengwujudan tiga timbalan ketua pegawai eksekutif.

“Jawatan tiga Naib Pengerusi dalam struktur sekarang akan dinaiktaraf menjadi timbalan ketua pegawai eksekutif dengan fokus perkhdimatan yang sama,” katanya.

Ewon berkata, dari segi implikasi kewangan, SKM dengan kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam akan berbincang selepas ini pindaan ini diluluskan bagi menentukan implikasinya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *