Kredit Foto: Fb Rasmi Football Association of Malaysia…

TERENGGANU – Harimau Malaya berpesta gol dengan membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam tadi.

Pada aksi malam tadi, skuad bola sepak Malaysia bermula baik dengan deretan percubaan dilakukan sebaik sepak mula, namun ketangkasan penjaga gol Papua New Guinea, Ronald Warisan, memastikan kedudukan seimbang menghampiri waktu rehat.

Walau bagaimanapun, penghujung menyaksikan Malaysia pada separuh masa pertama berjaya mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid minit ke-45 gara-gara kekasaran Solomon Rani ke atas Akhyar Rashid.

Harimau Malaya mula membelasah Papua New Guinea tujuh minit bersambung babak kedua hasil jaringan Josue berpunca gerakan Daniel Ting dari sebelah kiri.

Bermula hantaran jauh Dominic Tan dari bawah, Arif Aiman (m-57) bijak melepasi perangkap ofsaid untuk tenang menyumbat gol ketiga disusuli jaringan Faisal Abdul Halim minit ke-59.

Gandingan dua pemain itu memberikan gol kelima apabila Arif Aiman (m-60) mudah mendada masuk bola ke dalam pintu gol hasil hantaran Faisal dari sebelah kiri.

Penyerang Josue kemudian mencetak gol kedua peribadi dan melengkapkan hatrik minit ke-64 serta minit ke-70 selepas menyudahkan umpanan Arif Aiman.

Malam pesta gol buat Harimau Malaya diteruskan Daniel pada minit ke-76 yang menjadikan kedudukan 8-0 sebelum Arif Aiman turut mencetak hatrik pada minit ke-87.

Papua New Guinea bagaikan tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang melengkapkan kemenangan 10-0 menerusi jaringan Arif Aiman pada minit ke-89.

Tambahan masa diberikan pengadil Indonesia, Yudi Nurcahaya sekadar melengkapkan perlawanan menyaksikan hampir 10,000 ‘ekor’ Harimau Malaya berpesta sebaik wisel penamat ditiup.

Kredit Foto: Fb Rasmi Football Association of Malaysia…

Kemenangan sempurna Malaysia terhadap pasukan di rangking 149 dunia itu dibantu oleh jaringan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M), Arif Aiman Hanapi serta hatrik Paulo Josue pada babak kedua.

Ini antara kemenangan terbesar Harimau Malaya di peringkat antarabangsa selepas pernah membelasah Filipina 15-1 pada tahun 1962.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *