Joachim
Joachim (lima dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Majlis Daerah Ranau yang dilantik bagi sesi 2023/2025 ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

RANAU, SABAH – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan mengadakan satu seminar khas dalam usaha memantapkan peranan dan tanggungjawab ahli-ahli Majlis.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, seminar khas bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis” ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 22 Jun.

Ia akan disertai oleh semua ahli-ahli majlis dan pegawai-pegawai eksekutif seluruh Sabah.

Beliay berkata demikian ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Ranau Sesi 2023/2025 di Hotel Perkasa Mt. Kinabalu, Kundasang, di sini, semalam.

Upacara angkat sumpah ini melibatkan seramai 18 orang Ahli Majlis Daerah yang baharu dilantik terdiri daripada wakil kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah Ranau, ahli perniagaan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pesara kerajaan.

Terdahulu, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, beliau mahu daerah Ranau menjadi lebih maju ke hadapan dan menyeru ahli majlis mencari kaedah bagi mengutip lebih banyak cukai bagi membolehkan membantu Majlis Daerah membantu meningkatkan pembangunan di Ranau.

“Kerana itu, saya ingin menegaskan bahawa pelantikan sebagai Ahli Majlis bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu tanggungjawab yang besar iaitu membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang, menggubal polisi dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Salah satu tugas Ahli Majlis adalah memastikan undang-undang kecil PBT ini dapat dijadikan asas dan panduan oleh pihak majlis dalam menyelesaikan sebarang masalah.

“Ahli Majlis perlu memainkan peranan yang lebih kreatif di dalam perancangan dan pembangunan PBT. Sehubungan itu, anda semua perlu mengambil bahagian secara bersemangat dan konsisten dalam aktiviti-aktiviti PBT terutamanya dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa,” katanya.

Bagi memastikan Majlis Daerah Ranau menjalankan tanggungjawab perkhidmatan dan pentadbiran secara berintegriti, Joachim menyeru ahli-ahli majlis yang dilantik agar mengutarakan idea-idea yang berimpak tinggi di dalam pengubalan dasar di peringkat daerah Ranau.

“Ia penting untuk memastikan sistem tersebut dapat merealisasikan aspirasi terhadap pembangunan pekan baharu di daerah Ranau,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi pengusaha rumah inap desa, Joachim memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mencari satu kaedah agar golongan terbabit memperoleh Sijil Perakuan (OC).

Katanya, ia bertujuan untuk pengusahan rumah inap desa mendapatkan lesen perniagaan dan tujuan-tujuan lain agar kerja-kerja kutipan cukai atah perkadaran dapat dilaksanakan oleh PBT dengan lancar.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Haji Mohd Hamsan Awang Supain; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais; Pegawai Daerah Ranau Merangkap Pengerusi Majlis Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani dan Pegawai Eksekutif, Elmer Endra M. Sator.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *