Juhar
Tun Juhar (kanan) semasa sesi kunjungan hormat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kemasukan pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Sabah dijangka terus meningkat pada tahun ini.

Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigedier Jeneral (B) Datuk Paduka Mahmud Saidin berkata antara faktor tarikan ke negeri ini ialah lokasi pelancongan, makanan, pusat beli belah selain hubungan kekeluargaan yang akrab di antara kedua-dua buah negara.

“Brunei dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat akrab terutama dari segi perhubungan masyarakat.

“Pelancong Brunei ke Sabah banyak sekali sejak selesainya pandemik COVID-19 jadi kunjungan ke mari sudah mulai bertambah sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di post-pos kawalan imigresen.

“Secara umumnya, seramai 1.2 juta pelancong Brunei ke Sabah sedangkan jumlah penduduk Brunei cuma 440,000 orang.

“Ini bermakna tarikan selain daripada hubungan kekeluargaan ialah pusat-pusat beli belah, kepelbagaian makanan dan juga lokasi pelancongan banyak di Sabah,” dedah beliau selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, semalam.

Menurut beliau, kunjungan pertama sejak dilantik ke jawatan tersebut pada Oktober 2021 bertujuan untuk memperkenalkan diri, di samping membincangkan usaha untuk mengembangkan lagi kerjasama di antara Brunei Darussalam dan Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan. — JABATAN PENERANGAN SABAH




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *