Juhar
Al Hambra dan Richard mengangkat sumpah di hadapan Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hambra Tun Juhar dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Richard Yong Ke Wong telah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Al Hambra dan Richard mengangkat sumpah di hadapan Yang di -Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selepas menerima surat cara pelantikan mereka dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.

Mereka menandatangani dokumen pelantikan masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Ismail Brahim.

Menggantikan Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Ginibun, tempoh pelantikan Al Hambra dan Richard adalah selama lima tahun.

Turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *