Hajiji
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diiringi oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, Ruddy dan pemimpin parti itu melakukan gimik pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas di Dataran Pitas ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

PITAS, SABAH – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula mengatur persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula dengan pelancaran Gagasan
Rakyat Bahagian Pitas, hari ini.

Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua 73 bahagian parti itu perlu bersiap sedia dari sekarang untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, semua bahagian dan cawangan, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan
Beliawanis Gagasan Rakyat perlu bergerak awal mengukuhkan jentera parti dan
menambah keahlian di semua bahagian.

“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana tidak lama lagi
Pilihan Raya Umum (PRN), iaitu kira-kira dua tahun lagi.

“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia, kuatkan bahagian, banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap kita, Wanita, Pemuda dan Beliawanis, Insya-Allah kita boleh fikirkan untuk pastikan kita mendapat mandat rakyat sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya ketika melancarkan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas di Dataran Pitas, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah;
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pemuda GRS,
Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang.

Gagasan Rakyat Bahagian Pitas adalah yang pertama dilancarkan oleh Hajiji di peringkat bahagian selepas pelancaran Gagasan Rakyat di peringkat negeri pada 2 Mac lalu.

Hajiji berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu yang semakin memberangsangkan, beliau yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang
cerah di negeri ini.

“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela
nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan
politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat.

“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat ini Insya-Allah perjuangan parti tempatan ini
kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah ini. Inilah gabungan besar yang akan kita
pakai dalam PRN akan datang.

“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang
cabaran politik Sabah. Bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan kita hari ini sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa Gagasan Rakyat yang berkonsepkan parti berbilang kaum diterima rakyat Sabah.

Katanya, perjuangan parti itu akan memberi isyarat jelas kepada parti pembangkang di
Sabah bahawa Gagasan Rakyat dan GRS akan menjadi platform politik yang kuat pada
masa akan datang di Sabah.

Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan GRS yang kini dianggotai tujuh parti dalam menghadapi apa saja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti aspirasi rakyat negeri ini.

“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut
parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh
dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi
keutamaan kita ialah parti tempatan.

“Kita juga mesti kuatkan GRS dan kerjasama dengan rakan komponen kerana kalau kita
bersatu padu kita akan lebih kuat dan maju. Kita perlu belajar dari kesilapan lalu, kita
banyak bergaduh menyebabkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan pembangunan daerah termasuk di Pitas akan
diberi keutamaan sejajar komitmen kerajaan GRS untuk membawa pembangunan
menyeluruh dan membela nasib rakyat negeri ini.

Katanya, setiap projek yang diumumkan kerajaan pasti akan dilaksanakan demi
pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terutama di luar bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *