GRS
Logo GRS ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan dalam melaksanakan strategi serta pendekatan berkesan dalam menangani isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Penghargaan terbabit dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (Keningau); Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau); Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau), hari ini.

Mengulas lanjut, mereka turut menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak teragak-agak
mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara

“Sebagaimana yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, terkini Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (“Exequatur”) yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020.

“Sehubungan dengan itu, kami juga ingin menggesa kerajaan untuk membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.

Ini termasuk siasatan lanjut dan
terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam Pihak Penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah
Menteri sebagaimana jawapan Kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023,” jelas dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, gesaan tersebit juga sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara tersebut dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.

“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara tersebut.

“Ahli Parlimen GRS seterusnya menyeru kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya negeri Sabah.

“Ini termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *