Ums
Rosalam menyempurnakan pelancaran MyRES 1.0 ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan My Research System (MyRES) 1.0, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Rosalam Sarbatly berkata, platform penyelidikan dan inovasi di UMS adalah satu ekosistem yang amat penting dalam memajukan bidang sains dan teknologi di Sabah.

“Dengan adanya ekosistem penyelidikan dan inovasi yang kukuh, pembangunan modal insan, kualiti pendidikan, dan penyelidikan dapat ditingkatkan.

“Untuk itu, MyRES 1.0 diperkenalkan bagi menyelaraskan pelbagai proses dan aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan penyelidikan dan inovasi, mempermudahkan kerjasama padu dan pertukaran maklumat efisien di antara penyelidik dan kakitangan pentadbiran.

“MyRES terdiri daripada lima kumpulan sistem yang membentuk asas penting dalam pengurusan penyelidikan dan inovasi, iaitu merangkumi Research Report and Monitoring System (MyR), Research Financial System (MyF), FAPI Research Report Card System (MyFAPI-RC), Research Lab Report Card System (MyLRC), dan Sistem Maklumat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (SMPPI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran sistem tersebut di Dewan Auditorium, Pusat Pengajian Pascasiswazah, pagi tadi.

Rosalam menambah, MyRES merupakan satu pendekatan strategik untuk membantu penyelidik dan pentadbir bekerjasama dalam membangunkan prestasi penyelidikan ke peringkat antarabangsa.

“Kerjasama yang berterusan antara semua pihak menuju kearah matlamat menjadi pemangkin kepada peningkatan inovasi dan kemajuan teknologi dalam masyarakat.

“Ini sejajar dengan aspirasi Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor yang mahu menjadikan UMS sebagai Peneraju Masyarakat Berinovatif.

“Justeru itu, saya yakin bahawa dengan kehadiran MyRES 1.0 ini akan mempermudahkan kerjasama dan pertukaran maklumat di antara penyelidik dan kakitangan pentadbiran, serta membantu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi di UMS,” katanya.

Ujar beliau, sistem tersebut diharap dapat dimanfaatkan oleh semua warga UMS agar usaha memperkukuhkan lagi ekosistem penyelidikan dan inovasi dapat dicapai.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Prof Dr Jumat Sulaiman; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan, Prof Madya Dr Jidon Adrian Janaun; Timbalan Pengarah I PPP, Prof Madya CM Dr Mohd Sani Sarjadi; Timbalan Pengarah II (Penyelidikan) PPP, Dr Ervin Gubin Moung; Timbalan Pengarah (Strategik) PPP, Prof Madya Dr Fatimah Binti Ahmedy; dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Inovasi, Darwis Manainus Awang Kangit.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *