Maritim
Seorang anggota Maritim Malaysia menunjukkan bom ikan bersama suspek yang ditahan ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan MaritimMalaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam di kawasan perairan Pulau Tabawan, Kunak semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata hasil rondaan yang dilakukan, bot peronda Maritim Malaysia menerusi Operasi Pluto Timur berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan lebih kurang pukul 5.00 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Dua lelaki berbangsa Bajau Laut tanpa dokumen berusia 22 dan 38 tahun turut ditahan. Kedua-dua mereka serta bot diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, dan dua botol bom ikan,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau mengingatkan komuniti maritim agar tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia bukan sahaja salah disisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut.

Disamping itu juga, katanya ia membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *