Juhar
Hajiji (dua dari kiri) dan Tun Juhar (tiga dari kiri) beramah mesra bersama jemaah haji ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jemaah haji diingatkan untuk sentiasa menjaga akhlak dan imej baik Sabah.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin berkata seramai tiga juta umat Islam dari pelbagai negara dijangka berkumpul di tanah suci musim ini dan bakal menjadi cabaran kepada para jemaah.

“Oleh itu, para jemaah dinasihatkan untuk mematuhi, menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara.

“Beri tumpuan dalam melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji kerana dengan pelaksanaan ibadat yang sempurna serta disulami akhlak yang baik akan membawa ke arah haji mabrur,” katanya dalam perutusan khas sempena Majlis Pelepasan Jemaah Haji Negeri Sabah Musim Haji 1444H/2023M.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mohd Nai’m Mokhtar berkata seramai 1,079 jemaah dari Sabah terpilih menjadi tetamu Allah SWT tahun ini.

“98 penerbangan sewa khas haji menggunakan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Saudi Airlines disediakan untuk membawa semua jemaah ke tanah suci,” katanya.

Seramai 142 bakal haji kumpulan pertama dari negeri ini berkumpul untuk berlepas ke ibu negara dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 4.10 pagi Ahad.

Pada majlis itu, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni juga menyampaikan sumbangan menerusi Yayasan Nur Jauhar (YNJ) kepada semua jemaah.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Julia Salag, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar dan Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak merangkap Pengarah Operasi Stesen Berlepas Kota Kinabalu, Datin Nurlaila Said. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *