WASHINGTON – China didakwa mengintip dari Cuba sejak sekian lama dan menaik taraf kemudahan pengumpulan risikannya di sana pada 2019, menurut seorang pegawai pentadbiran Biden.
Ia susulan laporan mengenai usaha pengintipan baharu sedang dijalankan di pulau itu.
Memetik laporan Reuters, The Wall Street Journal pada Khamis lalu melaporkan China mencapai perjanjian rahsia dengan Cuba untuk mewujudkan kemudahan elektrik mencuri dengar di pulau itu kira-kira 160 kilometer dari Florida, tetapi kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Cuba menimbulkan keraguan yang kuat terhadap laporan itu.
Pegawai pentadbiran Biden yang enggan dikenali berkata, pencirian media “tidak sesuai dengan pemahaman kami,” tetapi tidak menyatakan bagaimana laporan itu salah atau menjelaskan secara terperinci sama ada terdapat usaha China untuk membina kemudahan mencuri dengar baharu di Cuba.
Pegawai itu berkata, isu itu timbul sebelum Joe Biden menjawat jawatan presiden, begitu juga dengan usaha Beijing mengukuhkan infrastruktur pengumpulan perisikannya di seluruh dunia.
“Ini adalah isu yang berterusan dan bukan perkembangan baharu kerana PRC (Republik Rakyat China) menjalankan peningkatan kemudahan pengumpulan risikannya di Cuba pada 2019. Ini didokumenkan dengan baik dalam rekod risikan,” katanya ketika menjawab dakwaan jurucakap Kementerian Luar China yang menuduh AS menyebarkan khabar angin dan fitnah.
Kerajaan Cuba tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas isu berkenaan.
Khamis lalu, Naib Menteri Luar Cuba, Carlos Fernandez de Cossio menolak laporan Jurnal itu sebagai “benar-benar berbahaya” dan menyebutnya sebagai rekaan AS yang bertujuan untuk mewajarkan embargo ekonomi Washington selama berdekad-dekad terhadap pulau itu.
Beliau berkata, Cuba menolak semua kehadiran tentera asing di Amerika Latin dan Caribbean.
Dakwaan pengintipan China dari Cuba datang ketika Washington dan Beijing mengambil langkah tentatif untuk meredakan ketegangan yang memuncak selepas belon pengintip altitud tinggi China yang disyaki melintasi AS sebelum tentera menembaknya dari Pantai Timur pada Februari lalu.
Itu termasuk lawatan ke China oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang dijangka pada 18 Jun.
Pegawai pentadbiran Biden berkata, walaupun bekas pentadbiran Donald Trump menyedari usaha China di Cuba dan membuat beberapa percubaan untuk menangani cabaran itu, pihaknya tidak mencapai kemajuan yang mencukupi dan memerlukan pendekatan yang lebih langsung.
“Diplomat AS sudah menghubungi kerajaan Cuba dan bertukar maklumat dengan mereka dan ini memperlahankan usaha PRC,” katanya.