TAPAH – Mahkamah Majistret di sini, menjatuhi hukuman tujuh hari penjara ke atas lelaki yang mengasari pemandu wanita di Lata Iskandar, Isnin lalu.

Memetik sumber Harian Metro, tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut seorang pemandu wanita dalam insiden yang tular di media sosial itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highland pada 5 Jun lalu, 5.33 petang dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa yang sama atas kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu, mahkamah bagaimanapun menetap hukuman itu dijalankan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J Geetha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *