Ums

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Pertandingan ‘North Borneo Intervarsity Surgical Quiz Competition’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi platform terbaik bagi pelajar untuk menimba dan berkongsi ilmu berkaitan bidang pembedahan.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, pertandingan anjuran bersama UMS dan Sabah Surgical Society itu disertai oleh pelajar perubatan dari enam universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Segi University, International Medical University (IMU), dan UMS.

“Kita mahu pastikan para peserta mendapat manfaat daripada pertandingan ini bukan sahaja melalui belajar di universiti tetapi memperoleh ilmu melalui pengalaman pertandingan sebegini.

“Ini sekaligus membolehkan mereka menambah pengetahuan baru serta berkongsi dengan para rakan dan pensyarah di universiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas acara pembukaan pertandingan tersebut di Auditorium FPSK, UMS.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Surgeri FPSK, Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati memaklumkan setiap universiti menghantar empat atau lima pelajar bagi menyertai pertandingan tersebut.

“Kita mengharapkan para peserta bertanding secara sihat dan menjawab dan berbincang serta bersama-sama berkongsi informasi berkaitan pembedahan dengan baik,” ujar beliau.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, kumpulan pelajar dari UPM telah berjaya memenangi pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1,000.

Mereka menewaskan kumpulan pelajar dari IMU selepas mengharungi lima pusingan individu dan lima pusingan ‘buzzer’.

Kumpulan pelajar dari IMU membawa pulang hadiah berjumlah RM500 selepas kejayaan mereka mara ke pertandingan akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *