Bro sado
Lelaki berbadan tegap yang tular dalam satu rakaman baru-baru ini semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari ( Sumber Foto: Sinar Harian )

TAPAH, PERAK – Akibat menunjal kepala seorang pemandu wanita, lelaki berbadan tegap yang tular dalam satu rakaman baru-baru ini semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari.

Memetik sumber Sinar Harian, pada Selasa, sebuah video berdurasi 1 minit memaparkan tindakan lelaki berkenaan yang mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu terbabit.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.33 petang pada Isnin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya.

Pada Selasa, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Perintah reman bermula Rabu sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah.

Lelaki berusia 29 tahun terbabit tiba di mahkamah sekitar jam 8.35 pagi berpakaian lokap warna ungu dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *