PAPAR, SABAH – Pelaksanaan projek pembinaan Pasar Am Kinarut akan bermula tahun ini, kata Ahli Parlimen Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas) memaklumkan projek kerajaan negeri itu mendapat kelulusan segera dengan siling peruntukan yang diluluskan sebanyak RM1.5 juta.
“Satu projek kerajaan negeri yang telah diluluskan untuk membina baru Pasar Am Kinarut yang sebelum ini strukturnya daif, akan dirobohkan dan akan dibina Pasar Am baharu.
“Projek dengan siling peruntukan diluluskan kerajaan negeri ini berjumlah RM1.5 juta juga akan dilaksanakan tahun ini segera,” ujarnya ketika mengulas beberapa projek kecil yang dilulus serta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Armizan, selain projek pasar am, Anwar ketika menghadiri Program Semarak Perpaduan Rakyat (Bersempena Sesi Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama PAPARian) juga mengumumkan beberapa projek kecil yang dipohonnya bersama ADUN Kawang, Datuk Seri Dr Ghulam Haidar Khan bagi menyelesaikan isu-isu di kawasan sekitar Pekan Kinarut.
“Antara yg telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah untuk menaik taraf rangkaian sistem perparitan di Pekan Kinarut yang sebelum ini kerap dilanda banjir disebabkan sistem perparitan yang lama dan tersumbat, maka diluluskan RM500 ribu.
“Selain itu, isu jalan raya yang selalu dinaiki air di Taman Kinarut juga diluluskan dengan jumlah RM500 ribu, segera serta dilaksanakan mulai Jun ini melalui Majlis Daerah Papar untuk menaik taraf jalan tersebut.
“Turut mendapat kelulusan ialah Jalan Kampung Anak dari Pekan Kinarut ke Kampung Anak Somboi yang sekarang ini jalannya berlubang, daif dan sebagainya.
“Begitu juga di Taman Sungai Wang Kinarut, sebanyak RM359 ribu diluluskan serta merta untuk menaik taraf sistem perparitan di situ,” jelasnya kepada media di sini, pada Rabu.
Mengenai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diumum Anwar perlu disegerakan, Armizan menggesa pegawai daerah, para pemimpin, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua-ketua kampung untuk memastikan tiada masyarakat yang berkelayakan tercicir daripada inisiatif terbabit.
“Senarai ini perlu diperkemaskan di antara ICU dan Pejabat Daerah dan permohonan sumbangan rahmah dan IPR akan diumumkan kemudian.
“Saya menggesa Pegawai Daerah, pemimpin masyarakat selain daripada wakil rakyat JPKK dan ketua-ketua kampung jangan lepaskan peluang ini.
“Kita perlu memastikan, semak syarat kelayakan IPR tersebut dan pastikan tidak ada masyarakat kita di kampung yang berkelayakan, yang susah tertinggal kerana kita kena ingat ia juga perlu melalui permohonan jadi perlu ada engagement itu supaya kita dapat menyalur dan mengemukakan permohonan kepada pihak ICU,” katanya.
Pada majlis tersebut, Anwar sempat menyantuni keluarga pendaki yang terkorban di Everest, Allahyarham Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dengan menyerahkan surat kelulusan faedah terbitan dan kad pencen kepada abang allahyarham, Awang Asim Ampuan Yaacub.
Anwar yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Aminurrahim Mohamed sempat menyantuni anak-anak Allahyarham Awang Askandar — JABATAN PENERANGAN SABAH