Armizan
Armizan (empat dari kiri), James dan Delin (kanan) menyentuh bebola kaca sebagai gimik Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Masyarakat dinasihatkan agar menjadikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu penting bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang boleh menggugat agenda pembangunan.

“Kita perlu kekalkan identiti dan nilai untuk kita meletakkan kepelbagaian itu sebagai satu sumber kekuatan kita.

“Ini cukup penting bagi memastikan bahawa kita tidak terpengaruh dengan mana-mana pendekatan dakyah yang boleh menggugat nilai dan asas kita, teras kita iaitu agenda pembangunan.

“Kalau kita mahukan pembangunan, kita perlu pastikan bahawa semua bergerak, wujudkan kestabilan, pembangunan, perpaduan, untuk kita mencapai pembangunan,” jelas beliau.

Ditanya mengenai kewajaran Sabah menjadi model perpaduan negara, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan landskap politik di negeri ini bukan hanya relevan tetapi contoh terbaik kerana bersatu hati dalam mencapai pembangunan.

“Selain daripada kepelbagaian yang wujud di Sabah, kemajmukan lebih dari 33 etnik, model politik juga unik.

“Tapi asasnya, saya bersyukur kerana rata-rata ikon politik di Sabah bercakap berbahas atas konteks pembangunan dan itulah bagi saya satu perbahasan dan juga usaha agenda yang membina.

“Kita bergerak untuk membangunkan masyarakat apatah lagi isu sebenar dan teras di Sabah.

“Kita bergerak walau atas apa juga landasan sama ada ahli politik, NGO, kita ada keutamaan unjuran paling utama adalah memastikan Sabah ini lebih maju dan berjaya dalam aspek pembangunan,” jawab beliau.

Mengulas lanjut, kata Armizan, perbezaan politik di Sabah  akhirnya berkisar kepada perdebatan dan perbahasan berkaitan politik pembangunan berbanding di sesetengah tempat yang lain yang berbicara tentang ‘race and religion’ yang baginya cukup sensitif  dan penyebab kepada perpecahan yang cukup besar.

Beliau ditemui media selepas melancarkan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Masyarakat.

Pada majlis itu beliau diiringi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, ADUN Pantai Mantai, Tamin Zainal, ADUN Kawang, Datuk Seri Dr Ghulam Haidar Khan, Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah serta Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional Sabah, Delin Liet Blaun menyampaikan sumbangan 34 Bakul Rahmah kepada golongan asnaf daripada KRT seluruh Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *