Awang
Jenazah Awang Askandar Ampuan Yaacub diberi penghormatan terakhir sejurus tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH115 dari Kathmandu di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – ( Sumber Foto: Bernama )

SEPANG – Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Memetik sumber Bernama, terdahulu jenazah Awang Askandar diterbangkan menerusi pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal semalam, pada jam 11.30 malam (waktu Kathmandu).

Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 pukul 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang ini.

Pada sesi penghormatan terakhir yang diadakan di Kompleks Kargo KLIA di sini hari ini, yang disertai lebih 70 anggota APM, turut diadakan bacaan yasin dan tahlil dipimpin Lt Bersekutu APM, Miszlee Samais.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali semalam dilaporkan berkata atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *