Awang
Awang Askandar Ampuan Yaacub ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Awang Askandar )

KOTA KINABALU, SABAH  – Jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Allahyarham Leftenen Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, yang terkorban dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest, akan diterbangkan ke tanah air malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata urusan membawa balik jenazah Awang Askandar diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

“Jenazah mangsa akan diterbangkan dari Kathmandu, Nepal menggunakan pesawat MH115 pada 26 Mei, jam 11.30 malam (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.25 pagi (waktu tempatan).

“Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan pesawat MH2646 pada jam 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Armizan berkata, atas permintaan keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk disembahyangkan.

Menurutnya, jenazah Awang Askandar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni untuk disemadikan mengikut upacara istiadat penghormatan APM.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *