Ewon
Ewon dalam sidang DUN Sabah ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Beneduck mencadangkan supaya semua Wakil Rakyat dijadikan sebagai Point of Reference (PoR) dalam sesi libat urus berkaitan pewartaan Hutan Simpan di negeri ini.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan Hutan Simpan Komuniti dalam usaha menambah peratusan kawasan Hutan Simpan.

“Saya menyokong Rang Undang-Undang untuk meminda Enakmen Hutan seperti yang dibentangkan di Dewan ini dengan tujuan mendapatkan sokongan ahli-ahli dewan, tetapi di luar Dewan kalau sesi libat urus tidak melibatkan wakil-wakil rakyat ada kejangalan kerana wakil rakyat membawa mandat rakyat.

“Sudah tentu keutaamaan wakil rakyat ialah mengangkat perkara-perkara yang dibawa oleh rakyat kepada wakil rakyat mereka.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya wakil-wakil rakyat di semua kawasan dijadikan sebagai point of reference dalam sesi libat urus berkaitan Hutan Simpan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Ewon turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pengwujudan Hutan Simpan Komuniti di negeri ini.

“Dalam usaha kita menambah peratusan kawasan Hutan Simpan di Sabah, saya mencadangkan supaya Jabatan Perhutanan mengkaji untuk memperkenalkan Hutan Simpan Komuniti bagi membolehkan kawasan yang dituntut oleh komuniti di kawasan berkenaan diwartakan sebagai Hutan Simpan Komuniti atau Tagal Komuniti.

“Dari segi pemeliharaan dan penjagaan, kita serahkan kepada penduduk kampung atau komuniti yang menuntut kawasan berkenaan.

“Kawasan tersebut tidak boleh digunakan untuk pertanian tetapi boleh dipertimbangkan untuk perkampungan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, ada keperluan mewujudkan Hutan Simpan Komuniti untuk tujuan perkampungan kerana, jumlah penduduk akan sentiasa bertambah dan memerlukan kawasan perumahan baharu.

“Sebab itu, pada pandangan saya, Hutan Simpan Komuniti sesuai dipertimbangkan sebagai satu kelas pengkelasan Hutan Simpan.

“Jika Tagal Sungai boleh berjaya di banyak kampung, saya percaya Hutan atau Tagal Hutan yang akan dijaga oleh komuniti juga boleh berjaya bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemuliharaan hutan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *