KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.
RUU terbabit diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir dalam sidang DUN Sabah, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Noor berkata pihaknya berasa bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN atas sokongan terhadap empat RUU yang dibentangkan.
“Alhamdulilah, sidang DUN Sabah telah selesai diadakan. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana pindaan perlembagaan termasuklah RUU Anti Lompat Parti telah mendapat sokongan ADUN-ADUN.
“Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan satu prinsip ‘musyawarah’ mendapat keputusan untuk kepentingan rakyat negeri Sabah.
“Jadi dengan lulusnya pindaan perlembagaan itu, maka kita tidak lagi perlu susah hati mengenai adanya ADUN yang berpindah atau melompat parti pada masa akan datang di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, RUU terbabit juga selaras dengan pindaan Perlembagaan Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.
“Saya yakin rakyat dan semua parti politik amat bersetuju. Daripada sokongan yang kita dapat tadi pun, semua parti politik dan ADUN menyokong 100 peratus RUU Anti Lompat Parti itu,” katanya.
Disamping itu, Hajiji juga menyifatkan perbahasan mengenai pembentangan RUU
Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang berlangsung selama beberapa jam sejak petang tadi merupakan satu perbahasan sihat.
“Anda semua telah melihat kita memberikan peluang untuk berbahas. Saya rasa hampir semua terlibat dalam bahas untuk membincangkan perkara 6(7) Pindaan Perlembagaan ini bagi menyenangkan Tuan Yang Terutama membuat keputusan.
“Baru-baru ini apabila kita mengadakan pilihan raya lepas, kalau ikut perlembagaan perkara 6(7) menyatakan ketua parti yang mendapat majoriti hendaklah dilantik menjadi Ketua Menteri.
“Tetapi Tuan Yang Terutama menggunakan kebijaksanaannya, budi bicaranya kerana dia memikirkan walaupun ada satu parti yg mendapat bilangan yang banyak tetapi tidak melepasi majoriti mudah.
“Oleh kerana itu, Tuan Yang Terutama
melantik seorang ADUN yang mendapat sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN. Itulah semangat pindaan kepada Perlembagaan perkara 6(7) itu,” katanya.
Hajiji dalam pada itu juga menjelaskan RUU terbabit akan digazetkan dalam beberapa hari atau beberapa minggu selepas diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.