KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa projek dengan kapasiti tenaga solar sebanyak 84 megawatt (MW) di Sabah ketika ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata antara projek berskala besar dilaksanakan kerajaan negeri adalah projek solar berkapasiti melebihi 1 MW yang berjumlah sebanyak 50 MW dan telah beroperasi sejak tahun 2018 di Kudat.
Selain itu, projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim Feed-in Tariff yang berkapasiti 1 MW dan ke bawah sebanyak 796 pepasangan jenis individu, komersial serta komuniti yang berjumlah sebanyak 34 MW juga dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau juga berkata sebanyak sembilan projek solar berskala besar dengan kapasiti 62 MW yang sedang berjalan dan dijadualkan siap pada tahun 2024.
“Satu projek dilaksanakan di Beaufort berkapasiti 6 MW; satu projek di Kunak berkapasiti 5 MW; dua projek di Sandakan dengan jumlah kapasiti 20 MW; tiga projek di Tawau dengan jumlah kapasiti 16 MW; dan
dua projek di Labuan dengan jumlah kapasiti 15 MW.
“Oleh itu, jumlah besar tenaga solar yang telah dan akan beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146 MW atau 11 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan seluruh grid Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.