KUALA LUMPUR – “Sepanjang hidup, saya jarang menangis, tetapi apabila melihat video intim isteri dengan lelaki lain, saya tidak mampu menahan air mata daripada menitik.”
Itu pengakuan seorang suami apabila melihat isterinya yang bekerjaya curang sehingga mempunyai beberapa video intim.
Memetik sumber Harian Metro, lelaki berusia 40-an itu mengakui sukar menerima perlakuan isterinya yang curang dengan rakan sekerja namun demi anak, dia sanggup melupakan dan menerima wanita itu kembali.
“Kalau ikutkan saya mahu bercerai namun saya fikir anak yang masih kecil, saya telan apa sahaja perlakuan isteri dan sudi memaafkan dia demi anak-anak.
“Saya lihat isteri juga sudah berubah dan kerap solat sunat taubat, tetapi jauh di hati, saya tetap trauma kerana bimbang dia mungkin berhubung lagi dengan rakan sepejabatnya itu,” katanya.
Menurutnya, kecurangan isterinya terbongkar selepas dia mengesyaki sesuatu berlaku apabila sikap wanita itu berubah mendadak sebelum dia merujuk kepada peguam syarie untuk mendapatkan bantuan.
Lelaki itu berkata, isterinya sangat kerap bergayut di telefon dan sanggup berada lama dalam kereta walaupun selepas pulang dari tempat kerja.
“Dia pergi mana-mana, dia suka ambil gambar padahal sebelum itu perlakuannya tidak sebegitu.
“Sikapnya juga berubah mendadak, menjadi panas baran, tidak peduli anak-anak selain kerap keluar rumah kononnya ada urusan kerja sehingga mengundang syak wasangka saya,” katanya.
Dia berkata, selepas kesnya dirujuk ke mahkamah, baru segala bukti terbongkar malah lebih memilukan, dia pernah berjumpa dengan lelaki itu yang datang berkelah bersama keluarganya di sebuah tempat peranginan di utara tanah air.
“Boleh pula kami menyewa chalet bersebelahan, dia bersama anak dan isterinya manakala saya bersama isteri dan anak-anak.
“Masa itu saya tidak syak apa-apa namun selepas hubungan mereka terbongkar, baru saya tahu mungkin mereka sudah merancang untuk berjumpa hingga lelaki itu sanggup datang dari jauh. Saya juga dapat tahu isteri menipu kononnya ada kursus di luar, tetapi sebenarnya bercuti bersama lelaki itu,” katanya.
Menurutnya, dia juga terkejut apabila isterinya diugut supaya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 untuk lelaki itu jika tidak mahu rakaman video intim tersebar.
“Saya sudah mendapatkan nasihat perundangan untuk menyelesaikan masalah ini dan sehingga kini, saya masih berhubung dengan peguam untuk mendapatkan nasihat dan kata-kata semangat. Kalau ikutkan hati memang marah, macam-macam boleh jadi, tetapi apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil, saya bersabar dan berdoa diberi kekuatan berdepan ujian ini,” katanya.