Hajiji
Hajiji sedang memgimbas cap jari sebelum DUN Sabah bersidang ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM4.457 bilion daripada RM5.709 bilion dibawah peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak RM1.252 bilion tidak dapat dibelanjakan susulan beberapa isu pelaksanaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara isu berkaitan adalah isu kontraktor yang dilantik tidak mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi dan isu utiliti menjadi punca masalah seperti kelewatan dokumentasi untuk penyambungan utiliti, karenah birokrasi dan pemetaan utiliti.

Selain itu, isu tanah, pengurusan dan agensi pelaksana juga menjadi antara isu berkaitan pelaksanaan yang menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat membelanjakan baki RM1.252 bilion terbabit.

Susulan itu, Hajiji berkata pihaknya sentiasa mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani perkara terbabit.

Menurutnya, antaranya ialah kerajaan negeri memastikan kebolehlaksanaan sesuatu projek yang dipohon untuk pelaksanaan adalah tinggi pada tahun semasa dan tahun-tahun berikutnya.

“Kerajaan negeri juga akan memastikan semua permohonan projek kepada Kerajaan Persekutuan perlu mendapat perakuan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Ini seperti yang telah termaktub dalam Garis Panduan Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12) dan Permohonan Projek Pembangunan Tahun 2024-2025 Biayaan Persekutuan.

“Ini adalah untuk memastikan perancangan adalah mengikut keperluan negeri dan pelaksanaan projek disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Ignatius Dorell Leiking (WARISAN – Moyog) dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga berkata usaha pemantauan dijalankan secara berterusan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

Katanya, ia adalah langkah bagi memastikan
pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Antaranya melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah yang berperanan dalam memantau dan membincangkan isu-isu pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri Sabah.

“Selain itu, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) Sabah juga ditubuhkan bagi memastikan keputusan mesyuarat MTPNg dilaksanakan sepenuhnya di peringkat negeri.

“Di samping itu, pemerkasaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui pengiktirafan jabatan tersebut sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh kerajaan Persekutuan.

“Penambahan pegawai teknikal baharu juga merupakan antara inisiatif penting yang membantu kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan negeri dengan lebih efisien,” katanya.

Disamping itu, Hajiji turut mengemukakan cadangan agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan supaya peruntukan Persekutuan dapat disalurkan kepada satu Akaun Amanah bagi memastikan peruntukan tersebut tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa.

“Kerajaan negeri akan memantau agar peruntukan dalam Akaun Amanah tersebut digunakan secara efisien mengikut maksud pemberian peruntukan tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *