KOTA KINABALU, SABAH – Proses pendokumentasian sejarah dan warisan lisan harus dilakukan segera untuk didaftarkan di pelbagai peringkat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata Warisan Budaya Tidak Ketara kini sedang diancam kepupusan.
“Kehilangan ini disebabkan proses pemodenan dan globalisasi dunia yang memperkenalkan pelbagai pendekatan alternatif dalam menjalani kehidupan seharian.
“Generasi muda juga ada yang memikirkan bahawa sistem kehidupan nenek moyang kita tidak lagi relevan di era ini.
“Oleh itu, proses mendokumenkan sejarah dan warisan lisan tersebut haruslah dilaksanakan selagi orang-orang tua dan para pemegang adat yang memiliki pengetahuan tersebut masih ada,” ucap beliau melalui teleprompter pada Persidangan Kaamatan Warisan Budaya Tidak Ketara Ke Arah Pengiktirafan UNESCO Siri 1 Sempena World Day For Cultural Diversity for Dialogue and Development di sini, pada Ahad.
Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Persidangan Kebudayaan Kaamatan Warisan Budaya Tidak Ketara atas usaha menyelamat, melindungi dan menghantar ‘Warisan Budaya Tidak Ketara Sabah’ untuk pengiktirafan ke UNESCO.
“Kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan warisan budaya Sabah terpelihara dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan, termasuk UNESCO dan pertubuhan tempatan untuk membangunkan serta mempromosikan warisan budaya Sabah.” katanya.
Hadir sama, Pengarah Arkib Sabah, Shirley Sion, Pengurus Pelaksana Jawatankuasa Persidangan Kaamatan Warisan Budaya Tidak Ketara ke arah pengiktirafan UNESCO, Andrew Ambrose, presiden-presiden persatuan kebudayaan dan para pemegang adat. — JABATAN PENERANGAN SABAH