PENAMPANG, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan agama mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perkataan Allah boleh digunakan dalam mana-mana penerbitan buku agama untuk tujuan pendidikan dalam komuniti itu dengan menulis ‘Untuk Kegunaan Penganut Kristian Sahaja’.
“Isu ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam mesyuarat Jemaah Menteri beberapa hari lepas dan saya telah mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut dan menyuarakan pandangan dan penelitian saya terhadap isu ini.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga membuka ruang kepada semua jemaah menteri untuk menyampaikan pandangan dan keputusannya adalah “status quo”.
“Penganut agama Kristian daripada Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam doa mereka dan jika melibatkan penerbitan, ia perlu dicop dengan tulisan ‘Untuk Kegunaan Penganut Kristian Sahaja’.
“Itulah dasar sedia ada yang kita persetujui diteruskan semula dan kabinet memutuskan untuk kita menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita, tetapi agama lain juga bebas diamalkan dengan aman damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Bantu Sekolah Yayasan Bank Rakyat, di Dewan SM St.Micheal Penampang, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ewon berharap penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak supaya tidak bimbang dengan penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan telah bersetuju supaya kita boleh menggunakan kalimah Allah dalam doa kita seperti sedia ada dan juga dalam penerbitan,” katanya.
Sebelum ini Mesyuarat Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi mempersembahkan cadangan-cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri berkata, ia bagi mencapai penyelesaian secara menyeluruh mengenai isu penggunaan kalimah Allah.