Ums
Delegasi UMS dan Imperial College London mengambil gambar kenangan selepas sesi perbincangan ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

LONDON – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan perbincangan penyelidikan bersama Imperial College (IC) di South Kensington di sini, baru-baru ini, sebagai salah satu usaha merealisasikan pembangunan sebuah Hab Inkubasi Penyelidikan dan Inovasi di universiti itu.

Delegasi UMS diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor manakala IC diwakili Provos Profesor Dr Ian Walmsley.

Menurut Dr Kasim, negeri Sabah kaya dengan sumber alam semula jadi terutamanya biodiversiti, marin, minyak dan gas yang boleh diubah kepada produk bernilai tinggi melalui penyelidikan dan inovasi.

“Sabah juga berada pada lokasi strategik di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan dikelilingi oleh laut.

“Oleh kerana itu, Sabah mempunyai kekuatan dalam menyediakan sumber dan UMS berperanan sebagai satu-satunya universiti awam di negeri ini sebagai platform untuk penyelidikan bersama dalam pelbagai bidang khususnya kejuruteraan, teknologi, perubatan dan perniagaan,” katanya.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UMS, Samasuddin Yusop; Pendaftar, Luqman Ridha Anwar; Bendahari, Badrul Hisyam Ismail; dan Timbalan Pengarah (Strategik) Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof Madya Dr Fatimah Ahmedy.

Dalam pada itu, Dr Ian menyambut baik terhadap usaha UMS dalam membangunkan Hab Inkubasi Penyelidikan dan Inovasi.

Beliau turut berkongsi hal ehwal penyelidikan dan pengkomersialan produk di universiti berkenaan.

“IC memacu hasil penyelidikan dan inovasi melalui pembukaan 373 syarikat awalan (start-up company) dan 370 paten dari pelajar dan kakitangan untuk tujuan pengkomersialan produk.

“Ia berjaya dilaksanakan menerusi pewujudan hub inkubasi dan ‘scale space’, ruang ciptaan dan hab-hab penyelidikan di dalam kawasan khusus universiti yang dikenali sebagai White City,” jelas Dr Ian.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Dr Rosalam Sarbatly memaklumkan pembangunan White City oleh IC ini dilihat selaras dengan usaha UMS yang sedang membangunkan hab inkubasi pengkomersialan produk penyelidikan dan inovasi.

“Untuk rekod, UMS dan IC telah menjalin hubungan baik sebelum ini melalui penyelidikan bersama dalam kalangan penyelidik sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya.

Pada pertemuan itu, turut dibincangkan potensi kolaborasi dalam bidang simulasi penyakit berjangkit menerusi teknologi kecerdasan buatan yang dapat mengesan perubahan taburan wabak pada masa sebenar bagi membolehkan mitigasi dilakukan dengan efektif dan pantas.

Selain itu, sebuah perkongsian topik berkaitan ekologi dan penyakit berjangkit di kalangan haiwan-haiwan kecil dalam kawasan Sabah turut disampaikan oleh Penyelidik IC, Profesor Dr Rob Ewars.

Hadir sama, Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo UMS, Prof Dr Kamruddin Ahmed dan Profesor Epidemiologi Penyakit Berjangkit IC, Prof Dr Azra Gani.

 

Ums
Delegasi UMS dan Imperial College London mengambil gambar kenangan selepas sesi perbincangan ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *