PENAMPANG, SABAH – Catuan bekalan elektrik (load-sheeding) yang dilaksanakan di beberapa daerah di Sabah ketika ini akan diteruskan sehingga Julai ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata catuan itu diteruskan susulan penggunaan elektrik yang meningkat dalam sistem Grid Sabah.
Katanya, cuaca panas ketika ini menyebabkan ramai pengguna menggunakan penghawa dingin dirumah masing-masing dan menyumbang kepada penggunaan elektrik yang tinggi.
“Disebabkan itu SESB perlu melakukan catuan bekalan elektrik untuk mengawal kestabilan grid di Sabah.
“Dalam masa yang sama SESB sedang melaksanakan tindakan jangka pendek dengan menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan jana kuasa bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat bersama SESB bertempat di Load Despatch Centre, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Mohd Yaakob Jaafar.
Dalam pada itu, Shahelmey turut mengakui terdapat sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi perkara terbabit.
“Jadi saya merayu kepada pihak terlibat dalam pelaksanaan projek bekalan jana kuasa untuk elektrik di Sabah agar memberi perhatian serius dan cepat agar ia boleh dilaksanakan.
“Ini penting kerana ia bukan sahaja mempengaruhi pengguna tetapi juga akan mempengaruhi penumbuhan ekonomi di Sabah.
“Sekiranya bekalan elektrik ini tidak dapat ditambah dalam tempoh terdekat maka ia membantutkan usaha kita untuk menarik pelabur membangunkan industri yang ada di negeri ini.
“Untuk makluman, catuan ini akan dilakukan sehingga bulan Julai tahun ini jadi kita berpesan kepada pengguna untuk bersabar,” katanya.
Shahelmey dalam pada itu juga berkata catuan terbabit dilakukan untuk memastikan semua kawalan bekalan kuasa grid SESB terkawal dan mengelakkan kejadian teknikal yang tidak diingini.
Sementara itu, beliau juga berkata SESB telah menempatkan sebanyak 11 unit jana kuasa bergerak di seluruh negeri bagi meningkatkan margin simpanan tenaga elektrik di sistem Grid Sabah.