SANDAKAN : Seorang remaja lelaki warga Filipina yang terjun ke laut kerana melarikan diri dari polis di Kampung Pukat Pasir Putih, di sini, Jumaat lalu, ditemui mati lemas, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Nor Azizi Che Noh berkata
pihaknya dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp bahawa mangsa ditemui
terapung oleh rakan sekerja mangsa di lokasi tidak jauh dari kawasan mangsa dipercayai terjun.

“Mangsa telah meninggal dunia di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan sejak Jumaat lalu, ditamatkan sepenuhnya jam 9.48 malam.

Remaja lelaki warga Filipina berusia 18 tahun yang hanya dikenali dengan nama panggilan Man, hilang selepas terjun ke laut
dipercayai untuk melarikan diri daripada polis, setelah terlibat dalam satu pergaduhan bersama rakannya, Jumaat lalu.

Gerakan mencari mangsa sebelum ini melibatkan sepasukan 10 pegawai dan anggota menggunakan sebuah bot dari BBP Sandakan.

Turut membantu, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari menggunakan kaedah “Surface Rescue” sehingga ke Pulau Berhala dengan radius pencarian 1 kilometer.

Manakala anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut melakukan selaman di lokasi mangsa dipercayai telah terjun.

Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.17 petang semalam dan sepatutnya disambung semula pagi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *